KEKALKAN ISTILAH ‘DEKLARASI RAKYAT’ SEIRING DENGAN KONSEP 1MALAYSIA CETUSAN NAJIB RAZAK – FERIZ OMAR

FO - Selamatkan Malaysia 3

JOHOR BAHRU, 10 Mac 2014 – Istilah ‘Deklarasi Rakyat’ perlu terus dipergunakan dalam semua bahan dan artikel di media perdana dan media alternatif kata Feriz Omar, Geo Strategis dan Penganalisis Ekonomi-Politik.

“Ia perlu terus-terusan dipanggil ‘Deklarasi Rakyat’ dan bukannya ‘Deklarasi Mahathir’ seperti yang diarahkan oleh pihak-pihak tertentu yang memegang pentadbiran media-media perdana”, ujar Feriz Omar.

Bagi beliau deklarasi itu bukan sahaja suara YABhg Tun Mahathir seorang, tetapi segerombolan individu yang memegang amanah untuk memimpin jutaan sokongan Rakyat Malaysia untuk Selamatkan Malaysia tanpa mengira perbezaan falsafah ideologi politik dan fahaman agama.

Bagi Feriz Omar, “Suasana inilah yang YAB Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia sendiri dambakan di mana tercetusnya kematangan berpolitik dan kematangan beragama seiring dengan gagasan 1Malaysia cetusan Najib sendiri dalam kehidupan Rakyat Malaysia agar dapat mencari persamaan dan elakkan perbezaan demi masa hadapan tanah tumpahnya darah kita ini, Malaysia yang tercinta”.

Menurut Feriz Omar lagi, “Sama ada usaha itu berjaya atau tidak, ia adalah perkara kedua.  Yang utama, ia adalah detik penting dalam sejarah Malaysia yang dicatat pada hari Jumaat, 4 Mac 2016 bersamaan tanggal 24 Jamadil Awal 1437H.

Pemimpin muda akar umbi dari Johor itu mengakui bahawa beliau terdedah dalam begitu banyak peristiwa pergolakan ekonomi dan politik Malaysia sejak 1996 sehingga kini.  Namun, peristiwa bersejarah Deklarasi Rakyat ini memperlihatkan buat pertama kalinya Rakyat Malaysia dari pelbagai falsafah ideologi politik dan pelbagai fahaman agama bergabung dan bangkit menuntut kebenaran menentang penipuan dan kemungkaran para pemimpin yang menzalimi Rakyat Malaysia”.

Feriz Omar mahu melihat Malaysia terus dibangunkan dengan kedua-dua tangan para pemimpin yang memiliki ruh yang suci serta akhlaq yang mulia.  Namun, sikap rata-rata pemimpin Malaysia pada hari ini seolah-olah membina Malaysia dengan tangan kanan tetapi pada masa sama menghancurkan Malaysia dengan tangan kiri. – myNEWSasia