ZETI TERUSKAN PERJUANGAN, MENYANGGAH TINDAKAN PEGUAM NEGARA

Zeti Aziz 1

KUALA LUMPUR, 9 Oktober 2015 – Susulan dari kenyataan Tan Sri Dato’ Sri Haji Mohamed Apandi Bin Haji Ali, Peguam Negara semalam yang menyebut tiada bukti jelas permasalahan 1MDB, hari ini Bank Negara Malaysia (BNM) telah menyanggah keputusan Peguam Negara kerana tidak meneruskan tindakan perundangan ke atas 1MDB.

Dalam kenyataan BNM hari ini, BNM telah mengiaskan bahawa ‘kuasa penuh’ di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mendakwa jika terdapat transaksi jenayah mengikut Akta Pengawalan Pertukaran Asing 1953 (ECA 1953) terletak di bahu Tan Sri Dato’ Sri Haji Mohamed Apandi Bin Haji Ali.

BNM sebelum ini telah berusaha memaklumkan sebanyak dua kali kepada Peguam Negara perihal transaksi sebenar 1MDB tetapi tiada tindakan susulan.  Antara lain BNM mendapati transaksi 1MDB tidak lagi selari dan relevan dengan permohonan awal mereka.

Di atas ‘tiada tindakan’ dari pihak Tan Sri Dato’ Sri Haji Mohamed Apandi Bin Haji Ali itulah BNM membuat keputusan untuk mengambil tindakan tegas terhadap 1MDB dengan menarik balik kelulusan 1MDB untuk melabur AS$1.83 billion di luar negara. Tidak cukup dengan pembatalan kelulusan, BNM telah mengarahkan 1MDB membawa balik wang tersebut ke Malaysia.

Pihak BNM juga telah menyatakan bahawa mereka bersedia memberi kerjasama terbaik mereka kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memudahkan penyiasatan ke atas 1MDB. – MNA

Pandangan di atas adalah pandangan peribadi. myNEWSasia tidak pernah mempengaruhi Penulis untuk menghasilkan artikel tersebut.  Pihak Pemilik dan Pihak Pengurusan myNEWSasia tidak bertanggungjawab atas artikel tersebut.