PANDIKAR, SPEAKER DEWAN RAKYAT AKAN LETAK JAWATAN

Saya akan letak jawatan jika debat diteruskan - Pandikar

Saya akan letak jawatan jika debat diteruskan – Pandikar

KUALA LUMPUR, 3 NOVEMBER 2015 – Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah memberi kata dua kepada Kerajaan Najib agar hentikan debat antara Arul Kanda dan Tony Pua jika tidak, beliau akan letak jawatan.

“Jika Kerajaan Najib masih teruskan juga dengan debat itu, saya akan letak jawatan. Saya akan letak jawatan sebagai Speaker Dewan Rakyat”, katanya selepas ditekan oleh begitu ramai ahli Dewan Rakyat mengenai debat tersebut.

Cadangan debat antara Arul, Presiden 1MDB dan pemimpin DAP, Tony Pua, telah mencetus pelbagai reaksi umum sepanjang seminggu lalu.  Pua yang juga ahli PAC telah begitu lantang mengkritik hal ehwal 1MDB, dan mencadangkan debat itu diadakan.

Pandikar mempersoalkan mengapa perlu debat itu patut diadakan.  Bagi beliau memadai dengan PAC untuk menyiasat hal ehwal 1MDB.  “Apa masalahnya jika PAC menyiasat isu 1MDB,  Mengapa Rakyat Malaysia tak boleh sabar sehingga penyiasatan PAC ke atas 1MDB selesai?”

“Bukankah Petaling Jaya Utara (Pua) juga adalah ahli PAC? Manakala, Arul juga akan dipanggil oleh PAC?  Kenapa perlu terburu-buru?  Adakah debat itu akan memberi kesimpulan yang berbentuk konklusif akhirnya?  Jawapannya, tidak!  Kami juga mendapat maklumat bahawa laporan PAC ke atas 1MDB akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Dewan Rakyat”, katanya.

Sebelum ini, Pandikar juga yang sendiri memaklumkan bahawa Dewan Rakyat tidak akan menghalang debat antara Arul Kanda dan Tony Pua dengan syarat Pua letak jawatan selaku anggota PAC atau mengecualikan diri dari siasatan PAC ke atas 1MDB.  Pandikar juga berpendapat bahawa Arul tidak boleh terlibat dalam siasatan 1MDB.

“Fasal Tatacara Dewan Rakyat 23(1)(e), ahli Dewan Rakyat juga tidak boleh dibenarkan keluar kenyataan tanpa kebenaran Jawatankuasa Dewan Rakyat . Sama seperti membuat kenyataan, Ahli Dewan Rakyat juga tidak boleh membuat kenyataan selagi PAC masih menyiasat.

Cadangan debat secara langsung dalam TV itu akan membuka ruang persepsi yang tidak matang dan dalam keadaan kes 1MDB masih lagi disiasat.

Ia akan memberi kesan ke atas PAC dan pandangan prejudis terhadap kredibiliti kedua-dua pihak yang terlibat dalam debat itu.

Tambahan, ia juga bercanggah dengan Fasal Tatacara Dewan Rakyat 23(1)(e).  Pandikar juga mengingatkan bahawa tugas PAS adalah sebagai Penyiasat bagi pihak Rakyat bukan Penghukum. – MNA