KENYATAAN “ZAHID MAHU MUHYIDDIN KELUAR UMNO”, TAFSIRAN PENULIS BERITA HARIAN?

Zahid

KUALA LUMPUR, 26 OKTOBER 2015 – Berita Harian melaporkan bahawa tindakan menarik balik rencana mereka adalah kerana Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebenarnya tidak menyebut agar Tan Sri Muhyiddin Yassin keluar daripada UMNO seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Berita yang disiarkan adalah tafsiran penulis terhadap jawapan yang diberikan oleh Zahid dalam sidang media petang semalam.

Menurut Berita Harian, apa yang menjadi keutamaan sekarang bagi Zahid adalah memberi fokus untuk memperkukuhkan parti dan mendokong kepimpinan sekarang.

Dalam rencana Berita Harian yang ditarik balik sebelum ini, Zahid mahukan Muhyiddin keluar dari UMNO dan Muhyiddin juga dinasihatkan tidak perlu bernostalgia terhadap sesuatu sudah berlaku tapi tidak menjadi realiti.

Menganalisa semula rencana tersebut, kenyataan Zahid itu adalah terlalu ringkas dan agak susah untuk diterima akal bahawa ia dikatakan tafsiran penulis dan bukan dari Zahid sendiri.

Rakyat mungkin boleh terima jika terdapat ‘pembetulan’ dalam rencana sebelum ini.  Yang paling memusykilkan adalah apabila rencana asal tersebut tidak dikekalkan oleh Berita Harian.  Sebaliknya, ia diturunkan sepenuhnya. – MNA