KENAIKAN HARGA TOL : ‘KURAP’ BARU BN UNTUK HADAPI PRN SARAWAK DAN PRU14

tol 1

Ketika rakyat semakin merasa terhimpit kesan daripada keadaan ekonomi semasa, tindakan terbaru kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam seakan mencabar kesabaran mereka .

Dalam pengumuman terbarunya itu kerajaan Barisan Nasional telah meluluskan kenaikan harga tol baru berkuatkuasa Khamis, 15 Oktober ini.

Kenaikan harga baru tol itu melibatkan 12 syarikat pengendali lebuhraya di Malaysia antaranya termasuklah Lebuh Raya Pantai Baharu (NPE), Lebuh Raya Maju (Mex), Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya), Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh) dan Lebuh Raya Lingkaran Kajang (Silk).

Bagaimanapun harga tol di 8 lebuhraya kendalian Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) masih tidak berubah.

Melalui harga baru itu pengguna terpaksa membayar kenaikan diantara 10 sen hingga ke RM3 mengikut kelas yang ditentukan.

Difahamkan kenaikan kadar tol itu dilakukan berikutan keputusan kerajaan untuk menghentikan bayaran pampasan kepada syarikat pengendali lebuhraya terbabit.

Atau dengan kata lain kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib tidak lagi akan membayar pampasan bagi menanggung jumlah kutipan tol syarikat pengendali lebuhraya seperti yang diamalkan semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir dan Tun Abdullah.

Bagi rakyat kenaikan yang baru diumumkan kerajaan itu seakan telah melanggar Aku Janji BN PRU13 yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 6 April 2013 lalu.

Ini juga seakan mengambarkan slogan ‘Janji Ditepati’ serta ‘Rakyat di Dahulukan Pencapaian di Utamakan’ yang dilaungkan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini telah dibakulsampahkan selepas ia menang tipis pada pilihanraya ke 13 lalu.

Yang pasti tindakan terbaru kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib ini akan memeritkan lagi penderitaan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah, selepas terpaksa berhadapan dengan kenaikan harga minyak sebanyak 10 sen seliter awal bulan lalu.

Ini sekali gus akan memberi kesan kepada harga barang keperluan harian dan tambang pengangkutan awam.

Dan dalam keadaan seperti sekarang ini sekecil mana pun kenaikan yang berlaku akan memberi kesan psikologi yang besar kepada rakyat.

Sementara itu bagi penduduk di Semenanjung, kenaikan harga tol ini pastinya menimbulkan tanda tanya. Ini kerana sejak awal tahun lalu beberapa jalan bertol di Sarawak telah dimansuhkan.

BN sarawak

Malah Datuk Seri Najib semasa melancarkan pembinaan Projek Lebuhraya Pan-Borneo dengan bangganya telah mengumumkan tiada tol akan dikenakan pada lebuhraya berkenaan selamanya.

Apakah kerana Sarawak bakal menghadapi Pilihanraya Negeri tidak lama lagi maka mereka telah digula-gulakan dengan penghapusan tol berkenaan.

Tidak dinafikan pemansuhan atau pengurangan harga tol adalah salah satu strategi soft power yang efektif dalam perang psikologi bagi menarik sokongan rakyat, namun sikap kerajaan Barisan Nasional yang telah melanggar Aku Janji PRU13 lalu telah meninggalkan ‘kurap’ yang pastinya sukar untuk dihilangkan parutnya.

Bagi pembangkan tindakan terbaru kerajaan Barisan Nasional itu seakan memberi mereka peluru baru untuk digunakan mereka bagi menyerang kredibiliti Datuk Seri Najib dan barisan menterinya terutama dalam ceramah politik mereka.

Ia juga mungkin menjadi bukti dan modal politik terbaik pembangkan semasa Pilihanraya Negeri Sarawak nanti bagi menunjukkan bahawa kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib adalah kerajaan yang tidak boleh dipercayai. – MNA