1MDB : ZETI AKHTAR AZIZ, ‘NEGARAWAN PROFESIONAL’ YANG BERANI MENJUNJUNG TITAH RAJA-RAJA MELAYU

Zeti Aziz Taat Setia

KUALA LUMPUR, 11 OKTOBER 2015 – Seluruh Rakyat Malaysia terutamanya golongan Profesional Melayu berasa amat terharu dengan tindakan terbaru YBhg Tan Sri Dato’ Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang bingkas bangkit menegakkan kebenaran sekalipun terjerat dalam suasana politik yang menekan beliau.

Jumaat lalu, Tan Sri Zeti telah mengarahkan 1MDB membawa pulang segera USD1.83 billion (RM7.6 billion) sekali gus menyanggah keputusan Peguam Negara, Tan Sri Dato’ Sri Haji Mohamed Apandi Bin Haji Ali dengan membatalkan tiga kelulusan awal permohonan 1MDB untuk membawa wang sebanyak RM1.83 billion keluar negara.

Menurut maklumat, pembatalan itu dibuat BNM setelah menyedari bahawa butiran transaksi 1MDB tidak sama sepertimana ia dipohon pada awalnya.

Bibit-Bibit Awal Pembuktian Transaksi Jenayah Kewangan

Beberapa ahli perbankan berpengalaman mengesyaki bahawa ini adalah bibit-bibit awal yang menjurus kepada pembuktian ‘transaksi jenayah kewangan’ yang melibatkan ‘wang haram’ yang bercanggah dengan Akta Pengawalan Pertukaran Wang yakni Exchange Control Act (ECA) 1953 dan Akta 613 Wang Haram yakni Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001.

Menurut kenyataan BNM, mereka telah membuat dua laporan rasmi kepada Peguam Negara sebelum itu namun tidak diendahkan sama-sekali.  Prosedur ini pasti telah diambil memandangkan ia adalah perkara sensitif yang boleh mencela kerjaya politik Perdana Menteri Malaysia yang kini menjadi kritikan hebat luar-dalam negara sehingga mengakibatkan kejatuhan Indeks Komposit Bursa Malaysia (KLCI) dan nilai Ringgit Malaysia.

Senario Politik Malaysia Kini Sudah Tidak Lagi Masuk Akal

Senario politik Malaysia kini tidak lagi masuk akal setelah Timbalan Perdana Menteri Malaysia dipecat, Peguam Negara ditamatkan kontrak, Timbalan Pengarah Cawangan Khas ditukar pejabat, siasatan SPRM dan PAC diganggu.

Namun demikian, Gabenor BNM sejak tahun 2000 itu masih cekal dan berani mempertahankan tahap keprofesionalan beliau sekalipun berdepan dengan pelbagai risiko.

Zeti Akhtar Aziz Ikon Profesional Melayu Unggul

Rakyat Malaysia dan Antarabangsa tahu bahawa Zeti Akhtar Aziz adalah ikon profesional Melayu yang unggul dan telah memegang amanah yang diberikan kepadanya sehingga diiktiraf sebagai Ketua Bank Pusat Gred ‘A’ buat 10 kali berturut-turut oleh Global Finance Magazine.

Anak kepada negarawan, Profesor DiRaja Ungku Aziz dan Azah Aziz ini sudahpun boleh digelar ‘Negarawan’.  Beliau pernah dicadangkan oleh William Pesek, kolumnis tersohor Bloomberg untuk mengepalai International Monetary Fund (IMF).  Pada tahun tahun 1432H, Jawatankuasa Pemilihan Tokoh Maal Hijrah dengan perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong telah memilih YBhg Tan Sri Dato’ Sri Zeti Akhtar Aziz sebagai Tokoh Ma’al Hijrah 1432H.

Raja-Raja Melayu Berpesan, Letakkan Kepentingan Rakyat dan Negara Mengatasi Kepentingan Peribadi

Baru-baru ini dalam titah amanah yang disampaikan melalui Dato’ Seri Syed Danial Syed Ahmad Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, beliau menegaskan bahawa Raja-Raja Melayu khuatir dengan keadaan Malaysia yang semakin melarat dengan kritikan bertalu-talu Rakyat Malaysia dan antarabangsa yang telah mencelakan nama baik negara serta menganggu-gugat kestabilan politik dan ekonomi negara.

Syed Danial 1

Demi kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi negara, Raja-Raja Melayu juga telah mengingatkan semua pemimpin wajib pada setiap masa memastikan keadilan dilaksanakan secara saksama lagi telus berpaksikan undang-undang.

Melihat dari aspek 1MDB, badan-badan penguatkuasaan yang berkaitan dengan isu tersebut seperti PDRM, SPRM, BNM, Jabatan Peguam Negara dan Badan kehakiman, sepatutnya bangkit menentang ketidakadilan dan kemungkaran bagi menyempurnakan amanah Ilahi dan kepercayaan rakyat secara telus, berkredibiliti dan berintegriti.

Raja-Raja Melayu juga mahukan para pemimpin di peringkat semua lapisan meletakkan kepentingan negara dan rakyat mengatasi kepentingan peribadi.

Menterjemahkan keputusan dan tindakan Tan Sri Zeti, beliau juga mungkin telah melihat tiada siapa yang mengatasai Perundangan Malaysia, termasuk 1MDB.  Maka terjelaslah bahawa pemimpin ‘Nombor Satu BNM’ itu adalah seorang ‘Negarawan Profesional’ yang menyempurnakan amanah Ilahi sekali gus menjunjung titah Raja-Raja Melayu. -MNA